Hias Rumah Dengan Cermin

Mirror...mirror on the wall!... Masih ingat zaman kecil dulu. Cermin dikatakan sinonim dengan kecantikan, kerana digunakan oleh kebanyakan wanita untuk kelihatan cantik, dan lebih cantik. Sekarang, cermin bukan lagi untuk meja make-up atau bilik air. Dekorasi rumah menggunakan cermin sudah menjadi trend dan ia satu trik di kalangan interior designer untuk menampilkan stail pada mana-mana ruang di rumah.


Cermin secara umumnya mempunyai dua fungsi utama iaitu, untuk mencipta ilusi ruang dan untuk meningkatkan pencahayaan pada suatu ruang. Kualiti dan sifat refleksi yang ada pada cermin mampu menyelesaikan masalah dalam dekorasi rumah anda.


Kenapa guna cermin?

  1. Meluaskan Suatu Ruang. Bagi sebuah bilik yang kecil seperti bilik di apartment, menggantung cermin adalah satu cara yang jimat untuk mendapatkan lebih ruang secara ilusi. Bagaimana?. Dengan keupayaan refleksinya, cermin meningkatkan kadar cahaya dalam bilik tersebut. Lagi terang...lagi luas pemandangan dan begitu juga sebaliknya. Cermin juga akan menggandakan saiz dan kedalaman (depth) secara visual melalui imej yang berulang. Untuk membuat bilik anda lebih besar, gantung cermin pada dinding yang bertentangan dengan anda ketika memasuki bilik tersebut. Anda juga boleh lekapkan cermin di pintu almari atau kabinet jika dinding bilik anda sangat terhad. Bagi laluan seperti lorong dan tangga, anda boleh tempatkan cermin di kedua-dua bahagian dindingnya. Seeloknya saling bertentangan...jika boleh. Tip menjadikan ruang rumah kelihatan lebih besar.
  2. Mencipta Titik Tumpuan (focal point) dan Kesan Yang Dramatik. Sebuah cermin yang besar akan menjadi focal point dengan sendirinya. Ia boleh digunakan sebagai anchor untuk semua elemen hiasan yang ada di ruang tersebut. Anda boleh letakkan cermin di atas meja makan untuk menonjolkan lagi hiasan meja yang digunakan. Namun, tidak terhad di situ. Koleksi lain seperti alat kosmetik juga akan lebih terserlah bila diletak di atas cermin. Jika ditempatkan di belakang rak buku, kesannya terhadap koleksi anda lebih dramatik. Focal point penting dalam dekorasi.
  3. Menghindarkan Kegelapan. Sememangnya tujuan utama cermin dalam dekorasi ialah untuk menerangkan suasana rumah pada waktu siang, apabila kita hanya mengharapkan sinar matahari. Jika cermin diletak pada tempat yang betul, bilik anda akan lebih terang. Anda perlu meletakkannya pada sudut yang bertentangan dengan tingkap supaya cahaya yang memasuki bilik anda dapat dipantulkan. Jika anda mempunyai bahagian dinding yang dicat dengan warna gelap, cermin mampu memantulkan bahagian bilik yang terang untuk menyembunyikan suasana kelam pada dinding tersebut.
  4. Menyembunyikan Kecacatan Dinding. Jika terdapat rekahan atau kecatatan lain yang tidak boleh diperbaiki pada dinding, satu cara yang paling mudah ialah dengan menempatkan cermin di situ. Walaupun langkah ini seharusnya hanya untuk sementara, ia mampu menyelesaikan masalah dengan cepat dan jimat.


Tip Tambahan

  • Pastikan cermin yang digantung tidak terlalu tinggi, melainkan ia digunakan untuk memantulkan cahaya daripada tingkap. Bila terlalu tinggi, anda dan orang lain tidak dapat melihat refleksi imej yang cuba ditonjolkan.
  • Selalu fikirkan apa yang akan dipantulkan oleh cermin anda. Sepatutnya ia digunakan untuk barang atau hiasan yang menarik seperti lukisan dan artwork. Elakkan mana-mana tempat serabut (tidak sedap mata memandang) daripada kelihatan di dalam cermin.
  • Pastikan anda memilih frame yang sepadan dengan tema bilik anda. Bentuk dan stail cermin anda seharusnya seiring dengan elemen dekorasi anda yang lain.
  • Bila memilih cermin untuk bilik anda, fikirkanlah yang besar. Lagi besar cermin...lagi banyak cahaya yang akan dipantulkan. Namun, terdapat satu kelemahan pada cermin besar kerana ia mudah pecah. Langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk mengelakkannya daripada berlaku.
  • Untuk tujuan keselamatan, jika cermin yang anda gunakan berat, anda mesti pilih kawasan dinding, alat dan bahan yang digunakan untuk menempatkannya betul-betul kukuh.

Post a Comment

Home Decor : : Tip Dekorasi dan Hiasan Dalaman Rumah

Copyright © 2011 DEKORumah | Powered by Blogger | Designed and preserved by 54Blogger