Panduan Beli Perabot Kayu

Bila hendak membeli perabot baru, perabot kayu sememangnya menjadi pilihan kebanyakan orang. Bila anda hendak berbelanja untuk perabot idaman, anda perlu berhati-hati semasa membeli. Ada beberapa soalan yang anda perlu jawab sebelum anda keluar membeli perabot kayu. Antaranya bajet, jenis kayu, binaan, kemasan, dan kualiti harus diambil kira sebelum anda buat keputusan untuk membelinya. Panduan ini mungkin boleh membantu anda.


Berapa bajet anda?

Mungkin anda tidak kisah dengan bajet, tetapi bajet untuk membeli perabot merupakan satu panduan yang baik bila anda mula mencari perabot yang diinginkan. Jika anda mengagumi kualiti binaan, kayu yang baik, dan rekaan yang unik, anda mungkin terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkannya. Dan jika anda sudah terpikat dengan suatu perabot, bajet asal anda masih boleh difikirkan semula. Jadi, bajet ini akan membantu anda di landasan yang betul. Tidak perlulah menghabiskan wang simpanan semata untuk sebuah perabot.

Di mana perabot itu digunakan?

Adakah saiznya sesuai dengan ruang yang ada?. Sudah pasti anda mengidamkan sebuah meja besar untuk ruang makan anda. Namun, jika ruangnya sempit, lebih baik mendapatkan ukuran perabot yang lebih sesuai. Dari segi bentuk, meja bulat memberi sedikit kelegaan ruang untuk pergerakan anda. Begitu juga dengan almari atau katil besar, tentunya akan memakan ruang. Yang penting, ia mesti sesuai secara fizikal dan visual dengan ruang di rumah anda.

Apa stail perabot yang anda suka?

Syabas jika anda memang cenderung pada stail tertentu. Ini akan mengecilkan pilihan yang ada, seterusnya memudahkan dan menjimatkan masa anda membuat keputusan. Tetapi, ramai juga pemilik yang menghias rumahnya dengan menggunakan beberapa stail yang berbeza.

Apa jenis kayu yang digemari?

Semua perabot kayu diperbuat daripada sama ada hardwood (kayu keras cth kayu jati, walnut, oak, maple, mahogany) atau softwood (kayu lembut cth kayu getah, pine, plywood, hardboard, fibreboard). Kayu keras yang baik pastinya mahal kerana ketahanannya.

Adakah solid atau veneer?

Solid maksudnya mana-mana bahagian perabot (selalunya bahagian yang terdedah) yang menggunakan sepenuhnya jenis kayu yang dimaksudkan. Tetapi, rangka dan bahagian dalam perabot mungkin diperbuat daripada jenis kayu yang lebih murah. Terdapat juga kepingan kayu nipis yang dilekapkan di permukaan perabot untuk tujuan dekorasi. Teknik ini dipanggil veneering. Anda boleh tanya jenis kepingan veneer dan juga material asas perabot yang digunakan. Setidaknya, anda periksa di bahagian bawah meja untuk mengetahui material yang digunakan. Teknik yang seakan serupa iaitu laminating, biasa digunakan pada perabot kanak-kanak. Lapisan permukaannya berwarna solid.

Apa jenis kemasan?

Kemasan perabot yang dilakukan akan mempelihatkan lagi keaslian kayu yang digunakan, dan adakalanya mengubah penampilan secara menyeluruh. Penggunaan minyak atau lilin (wax) menjadikan kayu lebih berkilat. Untuk lebih tahan lama, lacquer dan varnish digunakan. Ada juga perabot yang dicat. Yang penting kemasannya halus bila disentuh dan permukaan dari setiap sudut perabot adalah sama (matching).

Adakah komponen perabot berfungsi dengan baik?

Anda perlu periksa semua komponen perabot untuk menjamin pemasangannya dilakukan dengan sempurna. Laci sepatutnya fit dan senang bila ditarik dan ditolak. Begitu juga dengan pintu bagi kabinet, mudah dibuka dan ditutup di samping menggunakan perkakasan yang berkualiti. Bagi kaki meja, pastikan parasnya sama dan tidak bergoyang sama sekali.

Post a Comment

Home Decor : : Tip Dekorasi dan Hiasan Dalaman Rumah

Copyright © 2011 DEKORumah | Powered by Blogger | Designed and preserved by 54Blogger